CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad kini melangkah ke hadapan dalam dunia digital dengan memperkenalkan Amira, pembantu digital pertama mereka yang dibangunkan untuk meningkatkan interaksi pelanggan melalui teknologi pintar.
Pelancaran Amira ini adalah sebahagian daripada komitmen CIMB dalam menggabungkan inovasi digital dan perkhidmatan pelanggan, selaras dengan transformasi digital yang sedang dilaksanakan oleh industri kewangan.
Amira merupakan pembantu digital baharu CIMB yang direka khusus untuk membantu dalam memberikan peringatan penting kepada pelanggan, seperti makluman mengenai pembayaran tertangguh dan notifikasi berkaitan pembaharuan insurans kenderaan. Menariknya, Amira akan menghubungi pelanggan terpilih secara terus melalui panggilan telefon, sekaligus menjadikan komunikasi lebih pantas, mesra pengguna dan mudah difahami tanpa bergantung sepenuhnya kepada aplikasi atau notifikasi digital.
CIMB turut menekankan bahawa semua panggilan daripada Amira akan menggunakan nombor telefon rasmi yang telah disahkan. Pelanggan dinasihatkan untuk menyemak nombor tersebut menerusi laman web rasmi CIMB atau menghubungi Pusat Bantuan Pelanggan bagi mengelakkan risiko penipuan (scam).
Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada pengalaman pengguna yang lebih peribadi dan proaktif, malah membuka ruang baharu dalam penggunaan AI assistant dalam sektor perbankan tempatan.
Sumber: Amanz



