Selepas Australia, Indonesia dan Perancis memulakan langkah kawalan akses internet kepada golongan bawah umur, kini giliran lima negara Kesatuan Eropah (EU) pula mengorak langkah dengan mengujicuba sistem pengesahan umur pengguna internet.
Menurut kenyataan rasmi dari Suruhanjaya Eropah (EC), Denmark, Greece, Itali, Perancis dan Sepanyol menjadi negara EU pertama yang menjalankan ujian ini sebagai sebahagian daripada pelan tindakan untuk melindungi keselamatan kanak-kanak dan remaja di dunia digital.
Tujuan Utama: Kawal Akses Kandungan Tidak Sesuai & Lindungi Kesihatan Mental
Langkah ini diambil selepas meningkatnya gesaan agar kandungan dalam talian dipantau lebih ketat, terutamanya kandungan yang boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mental, emosi, atau keselamatan fizikal kanak-kanak.
Sistem pengesahan umur ini direka berasaskan spesifikasi teknikal Dompet Identiti Digital Eropah, iaitu sistem pengesahan identiti digital yang dijangka dilancarkan secara rasmi pada tahun hadapan.
Perancis Paling Tegas, Insiden Tragis Jadi Pendorong
Perancis antara negara paling lantang mendesak tindakan tegas dalam isu ini, susulan kejadian tragis melibatkan seorang pelajar 14 tahun yang menikam mati guru semasa pemeriksaan keselamatan di sekolah. Insiden ini mencetuskan perbincangan besar tentang pengaruh kandungan digital terhadap minda remaja.
Australia Juga Bertindak – Fokus Kepada Ancaman Pemangsa Seksual & Trend Bahaya
Di Australia pula, kerajaan mengambil tindakan tegas kerana platform media sosial dilihat gagal mengawal kandungan berbahaya serta membiarkan kanak-kanak terdedah kepada pemangsa seksual, cabaran internet ekstrem, dan eksploitasi digital.
Bagaimana Pula Dengan Malaysia?
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini pernah menyatakan bahawa Malaysia perlu meneliti kesan psikologi dan perbezaan tahap kematangan antara kanak-kanak dan remaja sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan larangan akses.
Buat masa ini, kerajaan Malaysia belum bercadang untuk menyekat media sosial daripada diakses oleh pengguna bawah umur, namun topik ini dijangka akan terus dibincangkan secara serius pada masa hadapan.
Sumber: Amanz, Astro Awani



